Thursday, September 18, 2014

WAKAF DALAM MASYARAKAT KELANTAN


SEPATAH KATA

Penulisan WAKAF DALAM MASYARAKAT KELANTAN ini adalah bertujuan membuat catatan tentang wakaf   pada suatu ketika dahulu menjadi bangunan atau tempat persinggahan yang sangat terkenal dalam masyarakat di Kelantan terutama masyarakat Melayu,Siam dan juga Cina Kampung (Cina Peranakan Kelantan).  Ketiga-tiga masyarakat tersebut di Kelantan sudah terjalin suatu perhubungan dalam corak penghidupan baik sejak sekian lama dalam berintraksi,sebagai jiran ,sahabat sekampung. Hingga menjadikan mayarakat itu mempunyai persamaan dalam senibudaya dan juga persaudaraan senegeri. 
Atas asas-asas tersebut peranan WAKAF di kalangan masyarakat Kelantan terdapat unsur-unsur persamaan  iaitu sebagai tempat perhentian sebentar, berehat sekejab atau sementara sebelum meneruskan perjalanan,pekerjaan atau upacara-upacara tertentu dilaksanakan dan lain-lain.
Pembinaan WAKAF  juga melahirkan seni bina berbeza atau kelainan yang menunjukkan kekayaan bidang ini dalam masyarakat Kelantan sama ada bentuk, atau corak senibina itu sendiri disamping menjurus kepada fungsi   penggunaanya.
Catatan mengenai perkara tersebut telah dibuat setelah melakukan penyelidikan dan ditulis dengan kerjasama dan juga dorongan yang kuat daripada Tuan Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan  dan wargakerja Unit Penyelidikan PMNK. Saya sangat terharu dan berbangga di atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak bagi menjayakan penulisan ini . Mudah-mudahan penulisan ini akan memberi faedah terutama kepada generasi muda untuk mengenali tinggalan warisan budaya masyarakat Kelantan ini.  
 Unit Penyelidikan
Perbadanan Muzium Negeri Kelantan                                           
Pada 18-Julai 2012. 



WAKAF DALAM MASYARAKAT KELANTAN
Pengertian:
Perkataan wakaf membawa pengertian sesuatu yang diberikan  (derma) untuk kegunaan orang ramai,berkait dengan agama Islam seperti membina;bangunan wakaf,telaga,tanah,masjid,surau  atau lain-lain. Pengertian juga diberikan kepada tempat berhenti sebentar dalam bacaan dan bagi bangunan pula merupakan tempat singgah sebentar mengambil rehat dalam perjalanan atau atau menanti sesuatu ( Kamus Dewan –edisi keempat : DBP-2007).      
Dalam bahasa Arab ditulis ”                “ yang bererti  perhentian . Dalam bacaan ayat-ayat suci Al-Quran  ada ketandaan yang bacaannya diwakafkan iaitu diberhentikan sekejap sebelum meneruskan bacaan selanjutnya. Maksud itu dapat dikaitkan dengan bangunan wakaf dalam masyarakat terutama di Kelantan.
Penulisan ini ditumpukan kepada bangunan yang dibina ditepi jalan,kawasan sawah, ladang , perkuburan dan rumah-rumah ibadat dalam masyarakat Kelantan bagi tujuan berkumpul atau mengambil rehat terutama dalam perjalanan atau menunggu kenderaan yang  datang. Bangunan wakaf terdapat yang dibina dengan kewangan derma orang ramai,ada juga yang dibina oleh orang perseorangan diwakafkan bagi kegunaan orang ramai.Ada juga yang dibina bagi mengingat sesaorang yang telah meninggal dunia semuga pahlanya  di kurniai Allah kepada roh si mati tersebut.  
Kebelakangan ini terdapat bangunan –bangunan wakaf yang dibina oleh badan-badan berkanun,syarikat-syarikat perniagaan dan  mempamirkan logo syarikat berkenaan pada bangunan wakaf tersebut.
Masyarakat Kelantan bermaksud penduduk Kelantan yang terdiri daripada orang-orang Melayu,Siam dan Cina  (kampung) . Yang terlibat dalam tradisi “wakaf” ini adalah daripada gulungan tersebut yang mendiami atau berada dalam kelumpuk masyarakat di Kelantan.
Bangunan wakaf merupakan bangunan rumah kecil ,bangsal atau pondok tempat perhentian sementara. Wakaf dapat juga dimengertikan sebagai tempat berhenti ,singgah ,berihat ,beradu, bermalam bagi musafir dalam perjalanan. 

Kewujudan Wakaf Di Kelantan
Kelantan adalah terkenal dengan berbagai jenis seni termasuklah senia bina ,pertukangan dan juga seni ukir.Ini dapat dilihat pada pembinaan,bangunan,rumah,masjid-masjid dan juga wakaf-wakaf . Bagi memenuhi keperluan masyarakat Kelantan zaman dahulu saperti susah perhubungan perjalanan terpaksa memakan masa yang lama kerana berjalan kaki .Masa itu tidak ada rumah-rumah rehat,tidak ada kedai-kedai kopi maka masyarakat Kelantan mengambil langkah secara bergotong -royong menyediakan tempat persinggahan sementara untuk memberi kesenangan kepada mereka yang berjalan jauh begitu juga yang mengerjakan sawah ladang yang jauh kedudukan daripada rumah masing-masing.
Dalam persinggahan untuk mengerjakan solat dimasjid-masjid ada antara mereka membawa anak isteri.Mereka yang tidak dapat menunaikan solat terpaksa berehat diluar bangunan masjid. Lantas daripada keadaan yang dihadapi demikian itu timbullah usaha murni mereka membina wakaf-wakaf bagi memenuhi keperluan semasa masyarakat saperti yang disebut diatas. Dalam pembinaan ini kebanyakan diadakan secara bergotong-royong, derma daripada orang ramai dan terdapat juga dibina dengan ikhsan.
Wakaf-wakaf biasanya dibina pada beberapa tempat,seperti kawasan masjid,tepi-tepi jalan,dalam kampung,tepi pantai dan lain-lain lagi mengikut fungsi setempat. 

Wakaf Ditepi Jalan ;
Pada masa dahulu perjalanan antara satu kesatu tempat mengambil masa yang lama kerana berjalan  kaki .Tidak ada jalanraya seperti sekarang yang dapat digunakan bagi kenderaan  saperti bas,motokar,motorsikal atau lain-lain. Yang ada jalan kampong,melalui batas-batas sawah padi,lorong-lorong dalam kampong .Menggunakan basikal pun amat rumit.Kebanyakan masyarakat tidak mampu membeli basikal. Oleh itu perhubungan antara satu tempat kesatu tempat lain ialah dengan berjalan kaki. Kadang kala terpaksa memikul atau menjunjung barangan yang dibawa.Kalau banyak barangan dibawa terpaksa diusung atau dikandar.
Kalau jauh berjalan terpaksalah banyak kali berhenti atau singgah untuk berihat. Masa persinggahan itulah memerlukan  “wakaf” tempat persinggahan. Biasanya ditepi wakaf itu terdapat “telaga” iaitu pergi dan disediakan juga timba upeh nibung bagi mengambil air dari perigi berkenaan untuk menuman melepas dahaga ,mangambil wuduk,mandi atau lainnya.
Pada masa  ini kebanyakan wakaf seperti ini telah menjadi tempat menunggu bas atau teksi .Bahkan ada yang dibina oleh badan-badan atau syarikat swasta untuk kemudahan orang ramai seperti itu sambil dapat berteduh daripada panas matahari dan basah dek hujan. Wakaf-wakaf seperti itu juga dibina dengan baik menggunakan batu- bata serta dipamir logo syarikat berkenaan pada dinding   bagunan tersebut.

Wakaf  Sekolah-Sekolah
Pada masa ini banyak wakaf-wakaf didirikan di hadapan pintu besar berhampiran jalan raya ke sekolah-sekolah dan juga pusat pengajian .Termasuklah di hadapan pintu besar  Akademi Islam Universiti Malaya Nilam Puri Kota Bharu.Begitu juga di sekolah-sekolah seperti Maahad Muhammadi Laki-laki dan Perempuan  Kota Bharu dan Maktab Sultan Ismail Jalan Telipot Kota Bharu dan lain-lain lagi.
Wakaf-wakaf itu menjadi tempat pelajar-pelajar menunggu bas atau kenderaan yang akan datang menjemput mereka setelah selesai pengajian pada setiap hari. Wakaf-wakaf itu biasanya lebih besar dan panjang daripada wakaf biasa bagi menampung pelajar-pelajar yang ramai mengguna pada satu-satu masa terutama pelajar perempuan.

Wakaf Bendang
Pembinaan rumah wakaf berlaku juga dalam kawasan sawah atau bendang padi. Masyakat Kelantan mengerjakan sawah padi kadang kala terdapat jauh daripada rumah mereka. Mereka kesawah untuk membajak dengan mengguna kerbau atau lembu. Setidak-tidaknya  membajak diikuti pula dengan “gerat” iaitu melumatkan tanah.Kemudian diikuti dengan menanam atau “mencedung” anak semaian. Kadang-kadang masa menanam ini dilakukan secara bergotong royong iaitu beramai-ramai dengan bergiliar-gilir.
Tanah-tanah sawah ini biasanya luas dan letaknya jauh daripada kawasan rumah masing-masing.Lantaran itu mereka perlu tempat untuk berehat sekejap sambil makan minum , menunaikan solat dan membasuh pakaian kerja dan kain basahan. Diwakaf itu juga disimpan alat-alat pertanian yang digunakan semasa. Biasanya wakaf dibina dipenjuru mana-mana tanah sawah dikawasan tersebut yang dipilih oleh mereka dan kebanyakan ditentukan oleh ketua kampung. Pembinaan wakaf –wakaf ini biasanya dilakukan secara gotong-royong.

Wakaf Kampung
Wakaf jenis ini dibina didalam sesebuah kampong di pinggir jalan masuk ke kampong berkanaan. Wakaf kampong ini berperanan lebih kepada tempat berehat penduduknya  sambil berbual-bual menghabiskan masa setelah selesai kerja-kerja disawah atau pun diladang-ladang .Ada pula merupakn tempat bermain dam (aji).Berbagai cerita akan timbul disini saperti; perbualan hal disawah padi,cerita-cerita jenaka,teka teki dan berbagai lagi. Daripada keadaan itu keluar kata-kata seperti;

Wakaf Pantai;
Wakaf jenis ini dibina ditepi pantai bagi kaum nelayan dan masyarakat setempat berehat selepas mengharungi ombak dilaut kerana menangkap ikan sepanjang hari.Ia juga menjadi ketandaan tempat atau kampong tertentu jika dilihat daripada laut. Wakaf seperti itu juga menjadi tempat menunggu pemborong ikan dan keluarga akan ketibaan nelayan balik daripada menangkap ikan dilaut berkenaan. Tidak kurang pula menjadi tempat persinggahan musafir yang melalui kawasan tersebut  disamping menjadi tempat rehat penduduk setempat dan pusat kawalan kampong diwaktu lapang terutama  malam hari. Kepada masyarakat setempat menjadi tempat tidur baring mereka sewaktu berehat terutama jika tidak ke laut  .Wakaf-wakaf pantai seperti ini banyak dibina dimerata tempat dipantai-pantai dan kampung ,boleh dikatakan setiap penjuru jalan dalam kawasan kampung dipantai seperti  terdapat di Pantai Sabak,Kota Bharu.

Wakaf Masjid;
Kebanyakan masjid yang dibina berhampiran lebuhraya atau pun jalan-jalanraya yang besar  menghubung perjalanan jarak jauh turut dibina wakaf dalam kawasan atau laman masjid bagi berehat terutama wanita-wanita dan anak-anak yang tidak dapat bersolat  sambil menunggu suami atau saudara mara menunaikan solat dimasjid. Yang nyata seperti  Masjid Tua Kampung Laut di Nilam Puri terletak ditepi lebuhraya selatan ke Kota Bharu dibina wakaf seperti itu. 
Pada masjid yang berhampiran dengan penjara terdapat  wakaf-wakaf bagi kegunaan berehat kaum keluarga yang menziarahi banduan dipenjara kemudian  menanti sanak saudara yang bersolat  dimasjid seperti  yang  berlaku di Penjara Pengkalan Chepa dan Masjid As- Salam Pengkalan Chepa.

Wakaf  Pusat Pengajian
Dipusat-pusat pengajian pondok juga terdapat wakaf-wakaf yang dibina  dikawasan tersebut bagi tujuan mengingati tuan-tuan guru atau tokoh-tokoh ulamak terkemuka yang mengasas pusat pengajian pondok berkenaan dan juga ulamak setempat. Pondok-pondok ini juga merupakan tempat persinggahan ibu bapa ,sanak saudara yang menghantar pelajar baru dan juga semasa meziarahi anak-anak atau keluarga dipusat pengajian berkenaan.
Di kawasan Intitiut Pendidikan Guru ,Kampus Pengkalan Chepa,Kota Bharu dulunya Maktab Perguruan Pengkalan Chepa terdapat wakaf-wakaf yang didirikan bagi memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar berehat selepas menjalani kegiatan ko-kurikulum seperti pendidikan jasmi,permainan tenis dan lain-lain dalam satu kompleks sukan yang luas. Bila selesai sesuatu sesi, pelajar-pelajar berehat sekejap sebelum bertolak ke satu-satu lapangan disekitar bagi menyambung kegiatan berikutnya.Wakaf-wakaf ini dibina dengan bentuk  moden iaitu daripada batu . 

Wakaf Kubur;
Dalam masyarakat Melayu Kelantan pembinaan wakaf kubur adalah penting. Wakaf  ini berfungsi diwaktu kematian .Biasa ditanah perkuburan bahagian hadapan didirikan  dengan bangunan yang kekal yang menjadi tempat berkumpul beramai-ramai berzikir dan bertahlil kepada kepada roh si mati. Kadang kala diadakan majlis seperti itu seminggu sekali,berkala sempena hari Raya Puasa,Raya Haji atau lain-lain hari besar dalam Islam. Wakaf tetap ini biasanya dibinakan dengan keluasan lebih besar daripada pondok biasa bagi menampung keramaian anak mukim yang datang pada sesatu masa. Seni reka bentuk wakaf jenis ini berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain. Perbezaan tersebut amat menarik bagi menunjukkan kekayaan senibina masyarakat Melayu Kelantan.  
Dalam kawasan perkuburan juga terdapat satu lagi jenis wakaf yang bersais kecil ,paling ringkas dengan membahagi komponan boleh dipindah dan dipasang pada perkuburan jenazah yang baru dimakam . Pada biasanya setiap jenazah itu diadakan majlis “tunggu kubur” selama tujuh hari.Pondok itu akandihuni beberapa orang penunggu kubur membaca ayat-ayat Al-Quran selama masa yang ditentukan  itu . Sepanjang masa tersebut mereka menggunakan wakaf yang boleh dipindah .Kemudian dipindah pula pada makam yang baru.   

Wakaf Terkenal Kelantan
Pada masa ini terdapat beberapa buah wakaf yang terkenal di Negeri Kelantan segi sejarah dan rekabentuknya.Antaranya ialah;
Wakaf Tuan Farrer
Wakaf Tuan Farrer merupakan sebuah mercu tanda di bandar Pasir Puteh ,terletak dipersimpangan jalan lama Ke Machang,Kota Bharu- (ke Sekolah China Kai Chih Pasir Puteh), dalam bulatan Nara dan berdekatan dengan masjid kepala  jajahan iaitu Masjid Ibrahimi. Wakaf atau dalam bahasa Inggeris “Rest Pavilion” tersebut dibina zaman Ketua Jajahan Pasir Puteh Ke 5 berbangsa Inggeris bernama Roland John Farrer 1928-1938 dan nama wakaf tersebut mengambil sempena nama beliau. Pembinaannya berlaku tahun 1930 dengan kerjasama penduduk setempat bagi tujuan memberi kemudahan sebagai tempat berihat,berteduh daripada hujan dan panas dalam kepenatan berjalan dan juga menunggu kenderaan seperti bas dan lain-lain bagi meneruskan perjalanan selanjutnya.
Bentuk bangunan wakaf Tuan Farrer ini berbeza dengan wakaf lain di Kelantan kerana seni binanya bercirikan senibina bercampur Inggeris dan Melayu dimana bumbungnya berbentuk “A” dan perabung lima  berukiran yang halus pada bumbung dan pemelehnya.  
Tuan Farrer pernah memangku jawatan Penasihat Inggeris di Kelantan 1917-1919.
Wakaf bersejarah ini telah runtuh dirempuh sebuah kereta pada 12 Mac 2009 .Segala serpihan kayu dan lain-lain disimpan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh dan dibangunkan semula dalam bentuk asal menggunakan kayu dan lain-lain yang lama dan ditokok tambah mana yang kurang a.Siap pada akhir  tahun 2010.  
Wakaf King George
Wakaf ini terletak ditepi jalanraya antara Palekbang dan bandar Tumpat.Daripada Palekbang kira-kira 5km .dan 7km daripada bandar Tumpat. Kedudukanya rapat dengan anak sungai dan sebuah jambatan ditengah kawasan sawah padi “ Bendang Mokrat” atau “Bendang Luas”. Wakaf tersebut terletak  dalam kawasan tanah milik persendirian iaitu Tuan Haji Mat Hussein bin Abd.Rahman.
Wakaf tersebut dibina oleh masyarakat Siam awal tahun 1900 bagi tempat persinggahan Sami (Tok Cha) dalam perjalanan (berjalan kaki) dalam aktiviti  keagamaan mereka daripada Terbok ,Kampung Dalam dan Kampung Tepi Sungai. Setahun sekali mereka mengadakan perayaan dan jamuan serta menaikkan bendera khas bertempat diwakaf tersebut. Pada masa yang sama wakaf ini diguna oleh pesawah berhenti rehat semasa mengerjakan tanah sawah ,bercucuk tanam dan juga semasa menuai padi. 
Pada bumbung wakaf tersebut terdapat logo mahkota Raja Inggeris dengan tulisan “Wakaf King George V-1910-1935 Tumpat”.Dipercayai dibina mengingati Raja Inggeris King George V.yang memerintah Great Britain ,Ireland dan British Dominian mulai 1910 dan meninggal dunia 1936.
Bentuk wakaf tersebut mempunyai corak senibina Melayu-Siam  dengan keluasan 10.3kaki persegi dan tingginya 12.6kaki.Baik pulih telah dilakukan oleh tuan tanah berkenaan iaitu Tuan Haji Hussein. 
Wakaf Raja Muda
Wakaf yang bersejarah ini terletak di Kampung Kutan Hilir,Pasir Pekan Tumpat ditepi jalanraya Tendung ke Pasir Pekan.Wakaf Raja Muda mengambil nama Raja Muda “Tengku Zainal Abidin bin Tengku Long Kundur (Sultan Muhammad lll Kelantan ). Raja Muda tersebut ialah ayahanda kepada Almarhum Tengku Muhammad Hamzah (Tengku Sri Maharaja) ayahanda kepada Tengku Razaligh Hamzah( mantan Menteri Kewangan Malaysia ).
Kedudukan ditengah sawah di luar Kota Kubang Labu.Dibina kira-kira 150 tahun yang lalu dengan nama “Wakaf Beka” kerana terdapat pokok beka berdekatan dengannya. Wakaf ini menjadi tempat persinggahan mereka yang berjalan kaki dan tempat berhenti rehat pesawah yang mengerjakan sawah padi dan melkukan solat pada bahagian tengh wakaf. Bagi kemudahan pengguna wakaf tersebut sebuah perigi telah gali dibina dengan keret dan mengikut ceritanya air perigi itu tidak pernah kering walaupun musim kemarau hingga masa ini.
Pada awal tahun 1900 iaitu pada zaman Raja Muda Kelantan Tengku Zainal Abidin  wakaf ini telah diperbaiki sebagaimana bentuk sekarang berbumbung lapis dengan perbelanjaan diberikan oleh beliau dan tukang-tukang yang didatangkan daripada istana Raja Muda.
Mengikut cerita masyarakat setempat selepas musim menuai padi ,wakaf ini menjadi tempat upacara kesyukuran dengan mengadakan majlis jamuan yang disumbangkan oleh masyarakat. Majlis itu selalunya meriah. Selepas Peperangan Dunia Kedua (1941-45) kerap kali wakaf itu menjadi pentas bangsawan.Tahun 2002 Perbadanan Muzium Negeri Kelantan telah melakukan kerja baik pulih menggantikan  kayu lantai dan lain-lain yang patah , reput dan ganti atap (bata ) yang pecah dan pembersihan kawasan sekeliling wakaf tersebut.
Ragam Seni Bina Wakaf Masyarakat Melayu
Seni bina wakaf dalam masyarakat Melayu Kelantan adalah dipengaruhi senibina bangunan lain seperti istana,masjid dan rumah-rumah kediaman.Kebanyakan bangunan wakaf pada masa dahulu diperbuat daripada kayu dan atap pula jenis bata Singgora-Petani. Terdapat wakaf yang dibina dengan bumbung bertingkat seperti Masjid Lama Kampung Laut di Nilam Puri,bumbung jenis perabung lima dan lain-lain ragam seni bina masyarakat Melayu Kelantan.Diikuti pula dengan ragam hiasan ikur itik pada hujung bahagian bawah atap. Ada pula yang menggunakan andang-andang pada kayu pemeleh .
Kebanyakan berbentuk empat segi berlantai papan. Ada juga binaan yang lantainya bertingkat tinggi pada bahagian tengah bagi mengasingkan sedikit ruangan untuk menunai solat waktu bagi masyarakat Islam.                           
Biasanya wakaf dibina bersama dengan sebuah perigi (telaga) dalam kawasan tersebut untuk kemudahan mandi manda dan minuman ,mengambil wuduk dan sebagainya. Wakaf jenis ini banyak terdapat diladang-ladang atau sawah padi.
Ada juga wakaf dibina dengan tambahan tiang iaitu 4 batang sebagai tiang seri dibahagian tengah bangunan berserta dengan tiang-tiang  lain sekeliling pada bahagian tepi wakaf tersebut. Lantai wakaf jenis ini dibina  agak tinggi daripada tanah ada kalanya terpaksa berjuntai kaki masa duduk di bendul luarnya.  
Wakaf Dalam Masyarakat Siam
di Kelantan;
Kedatangan Orang Siam datang ke Kelantan tidak diketahui tarikh yang sebenarnya. Tetapi mengikut pengkaji sejarah menunjukan telah lama berlaku atas alasan bahasa yang digunakan adalah bahasa Siam tertua (Thai Traditional ).Kedatangan mereka pula berperingkat.Mereka bergerak dari utara beransur –ansur kemudian tiba di Kelantan.Keadaan ini berlaku kerana peperangan antara Thai dengan Burma dalam abad 17-18 .Pelarian perang bergerak ke Selatan seperti Nakhon Sri Thamarat/Ligor kemudian bergerak ke Utara Tanah Melayu /Kelantan. Selepas itu berlaku pula pergerakan bila Siam berperang dengan Petani sekitar tahun 1790 seterusnya Siam menguasai Petani sepenuhnya tahun 1832.
Perpindahan awal yang dapat dikesan ialah di Semerak (Baan Samooraj) Pasir Puteh  dan Kampung Balai Bachok (Baan Maalaj) mereka dipercayai dari kawasan Bangkok yang datang mengikut jalan laut. Penempatan yang lain adalah penghijrahan melalui darat dari arah utara terutama semasa penguasaan Siam ke atas Kelantan,Trengganu,Kedah dan Perlis pertengahan  abad ke 19.
 Yang dapat dikesan sebab-sebab penghijrahan berlaku ;
Lari dari keadaan negeri sentiasa berperang,
Mencari kawasan pertanian baru
Berniaga dan terus menetap ditempat baru
 Kedaan polotik/persempadanan yang memudahkan penghijrahan terutama zaman Kelantan menjadi tanah jajahan Siam pertengahan abad ke 19.
Masyarakat Siam di Kelantan sangat berpegang teguh kepada agama Buddha.Segala nilai agama itu dipertahankan seperti; Buddha,Sangha dan Dhamma. Mereka merujukkan hal keagamaan kepada Majlis Agama Thailand dan hubungan mereka masih rapat terutama bidang agama. Masyarakat Siam di Kelantan menubuhkan wat atau ketik dibeberapa tempat atau kawasan perkampungan mereka terletak dibawah “Majlis Sangka Negeri Kelantan”  termasuk perlantikan sami ketua wat-wat tersebut. Wat-wat itu adalah seperti;
1.Wat Bangtawasilaloi Kampung Mentua,  Tumpat
2.Wat Phikulyai,Kampung Jubakar ,Tumpat
3.Wat Machimaram,Kampung Jubakar, Tumpat
4.Wat Prachumathatchanaram,Kampung Jubakar, Tumpat
5.Wat Sukhontharam,Kampung Kubang Panjang,Tumpat
6.Wat Phothivihan,Kampung Jambu ,Tumpat
7.Wat Phoksayawanaram,Kampung Kok Seraya ,Tumpat
8.Wat Prachacinaram Wakaf Bharu,Tumpat
9.Wat Cheng Buddavas,Kampung Terbak, Tumpat
10.Wat Phikulthong Kampung Terbak,Tumpat
11.Wat Maisuwankhiri,Kampung Bukit Tanah, Tumpat
12.Wat Chonprahumthatchanaaram,Kampung Dalam, Tumpat
13.Wat Uttamaram,Kampung Teresek, Pasir Mas
14.Wat Khosakaram,Kampung Lubuk Batil, Pasir Mas
15.Wat Cinpraditthharam,Kapung Tendung, Pasir Mas
16.Wat Champakeow Kampung Berachang,Tanah Merah
17.Wat Ariyakhiri,Kapung Aril Pauh Lima, Kota Bharu
18.Wat Phothiyan Buddatham,Kapung Balai ,Bachok
19.Wat Pathumviham Kampung balai,Bachok
20.Wat Thaksinphalukaram,Kapung Ketik Buluh,Semerak Pasir Puteh.
 Dalam masyarakat Siam pembinaan wakaf adalah bersekali dengan pembinaan wat atau ketik.Dalam bahasa Siam wakaf disebut “selapatt ” iaitu wakaf tok sami atau “tok cha”. Kebiasaanya setiap ketik ada dua buah wakaf iaitu yang pertama dalam kawasan ketik dan kedua di tapi pintu pagar masuk atau diluar kawasan kawasan ketik . Kebiasaan wakaf di luar kawasan ketik saisnya lebih besar daripada yang didalam kerana fungsinya lebih banyak atau pelbagai .Satu lagi jenis wakaf ialah wakaf Buddha yang dibina pada tempat  atau kawasan tidak ada wat.
Peranan wakaf diluar ialah tempat persiapan bagi menyediakan berbagai perkara yang berkaitan dengan  upacara ketik –wat atau agama atau upacra sambutan hari besar dan lain-lain.Setelah saiap dan sempurna segala peralatan atau barangan yang berkaitan akan dibawa secara tertib kedalam wat bagi tujuan yang disebut diatas.
Wakaf didalam kawasan wat pula merupakan tempat duduk sami-sami atau tok cha sebelum pergerakan atau berjalan mengikut adat-adat majlis yang diadakan oleh pihak berkuasa ketik berkenaan. Selain daripada itu wakaf ini juga menjadi tempat persinggahan pelawat atau pengunjung ke wat atau ketik tersebut sama ada untuk menemui sami-sami, berihat ,berteduh dari panas ,hujan dan lain-lain . Penggunaannya tidak untuk orang Siam atau beragama Buddha sahaja tetapi terbuka untuk semua tetamu atau pengunjung. 

Reka bentuk  wakaf masyarakat Siam
Seni reka bentuk wakaf ketik atau wat berbeza dengan wakaf dalam kalangan masyarakat Melayu terutama segi bumbung atau atap yang bertingkat dua atau tiga .Walau pun ada jenis perabung lima tetapi dihujung bahagian bawahnya dihiasi dengan ekor naga tidak ekor itek seperti hiasan pada bumbung rumah orang Melayu. Pada bahagian atas tulang rabung dihiasi dengan “sirip naga”. Terdapat juga wakaf masyarakat Siam yang dipasang andang-andang pada kayu pemeleh atau “juring atap” (hujung bahagian bawah atap).

Wakaf  Wat / Ketik Tertua 
Wakaf Ketik atau Wat yang tertua di Kelantan ialah di Kampung Aril ,Pauh Lima Bachok. Pada awalnya didirikan di simpang empat Kampung Pauh Lima,Bachok. Ia menjadi tempat peraih (peniaga kecil) menjual sayur-sayur ,ikan dan lain-lain hasil tani atau pasar tani pada setiap hari Khamis.
Bila wat atau ketik Aril dibina terdapat ramai anak-anak muda kaum Siam yang ingin menjadi “sami” atau tok cha. Mereka berkumpul disatu selekoh yang tidak jauh daripada wat atau ketik Aril. Bila sudah cukup bilangan atau semunya sudah siap sedia mereka berjalan menuju ke ketik berkenaan. Daripada keadaan itu timbul pemikiran betapa perlu sebuah wakaf di adakan disitu bagi tujuan tempat berkumpul anak-anak muda Siam bakal menjadi sami atau tok cha sebelum bertolak ke ketik Aril.
Daripada keadaan itulah wakaf di simpang empat Pauh Lima dipindah ke Kampung Aril.Tetapi tidak lama kemudian dengan tidak semena-mena wakaf itu telah roboh . Lalu masyarakat Siam setempat berikhtiar “ra pitih”iaitu pakat keluar duit mendiri sebuah wakaf yang baru dengan reka bentuk dan ciri-ciri masyarakat Siam. 
Beberapa lama kemudian wakaf itu tidak lagi berfungsi sebagai tempat untuk melakukan upacara ketik tetapi menjadi sebagai tempat persinggahan (berehat) awam dalam perjalanan, selepas bekerja disawah dan sebagainya. Wakaf tersebut telah diperbaiki dan atapnya berlapis tiga seperti atap Masjid Tua Kampung Laut.

Wakaf Dalam Masyarakat Cina Kelantan
Penempatan masyarakat  terdapat dimerata tempat di Kelantan saperti di Kampung Pulai Gua Musang ,ditepi Sungai Kelantan daripada Kota Bharu hingga ke Kuala Krai atau Ulu Kelantan saperti di Jajahan Pasir Mas.Tanah Merah , Machang dan juga Kuala Krai.Selain daripada itu terdapat di Jelawat,Tawang,Bala (Bachok).Peringat,Sering,Pengkalan Datu,Pulau Gajah,Kedai Lalat dan Sabak dalam jajahan Kota Bharu.Mereka dikenali dengan sebutan Cina Kampung Kelantan atau dikenali juga sebagai Cina Peranakan Kelantan.Kedatangan mereka ke Kelantan lebih awal daripada kedatangan orang Cina di Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu. 
Mereka yang mendiami kawasan Gua Musang ,Galas,Kampung Pulai ,Sokor di Tanah Merah melombong emas,yang lain sebagai petani bertanam padi,sayur-sayuran dan berkebun buah-buahan seperti masyarakat Melayu dan Siam di Kelantan. Mereka dapat menyesuai diri dan bermasyarakat dengan orang Melayu Kelantan.Mereka juga berbahasa Melayu loghat Kelantan,bersekolah Melayu,menjadi guru Sekolah Melayu dan lain-lain.
Hasil daripada asimilasi dengan masyarakat  Melayu Kelantan terdapat beberapa perkara yang berbeza  antara Cina Kelantan dengan mesyarakat Cina di negeri lain (tempat lain) seperti;
1.Bahasa pertuturan Hokkien dipengaruhi dialek Kelantan dan bahasa Thai Kelantan
2.Cara hidup melibatkan diri mereka dalam pertanian,penternakan,pertukangan dan aktiviti kampong yang lain sama dengan masyarakat Melayu setempat
3.Budaya mereka seperti makan minum,pakaian,majlis-majlis perkahwinan hampir sama dengan masyarakat Melayu Kelantan begitu juga permainan ;wayang kulit,gasing,wau ,ayam baik,seni suara burung dan lain- lain.
4.Kepercayaan mereka kebanyakan beragama Buddha Theravada dan agama Taoism.Ada unsur persamaan dengan orang-orang Thai (Siam) di Kelantan.Terdapat 3 buah tokong terkenal di Kelantan iaitu:
        -  Tokong Sui Yek Khong di Kampung Pulai Gua Musang (lebih 600 tahun)
        -  Tokong Kemubu,Kota Bharu (300 tahun )
        -  Tokong Tin Hin Kong,Penambang (Kg.China) Kota Bharu  (219 tahun )

Terdapat 3 buah wat atau ketik diguna sama oleh masyarakat Cina Kelantan iaitu;
         -Wat Pracacinaram,Wakaf Bharu Tumpat-yang terbesar bagi masyarakat Cina Kelantan.
         -Wat Pothivihan,Kampung Jambu,Tumpat –Buddha Tidur “Sleeping Buddha” 
         -Wat Machimmaran,Kampung Bunuhan,Jubakar Tumpat Budhha Duduk “Sitting Buddha”
         -Wat Phithikyan Phutthaktham Kampung Balai Bachok  patung ‘Buddha Berdiri “Standing     Buddha”
                
Banyak perkara dalam penghidupan bermasyarakat seperti seni budaya Kelantan  sudah menjadi ikutan bersama antara masyarakat Melayu dan Cina juga masyarakat Thai (Siam) di Kelantan. 
Terdapat wakaf-wakaf  dibina oleh masyarakat Cina Kampung di Kelantan yang fungsinya sama seperti di tepi,persimpangan jalan dan juga dalam kawasan sawah , ladang ,tepi sungai dan di wat (ketik) atau kawasan rumah tokong mereka .Perhubungan masa dahulu amat susah tidak ada pengangkutan  saperti bas,kereta sewa,motosikal bahkan basikal pun jarang kelihatan digunakan  .Ini dialami oleh semua masyarakat Kelantan .Untuk kesesuatu distinasi terpaksa berjalan kaki maka wakaf amat penting sebagai tempat persinggahan sementara menghilangkan penat lelah sebelum menyambung perjalanan selanjutnya.
Antara wakaf tepi jalan yang mesyhur di bina oleh masyarakat Cina Kampung ialah wakaf Aik di Tawang,Bachok Kelantan. Bagi wakaf tepi sungai pula yang masih ada  ialah di Kampung Chepa,Kedai Lalat ,Kota Bharu.

Wakaf Aik
Wakaf ini didirikan oleh seorang tokoh masyarakat Cina Kampung Sering Kota Bharu ,berhampiran dengan Kampung Tawang,Bachok.Satu temuramah telah diadakan dengan En.Chan Beng Seong (63th) iaitu cucu kepada Chan Aik pada 12 Ogos 2012 dirumahnya di Kampung Sering Kota Bharu.Beliau menyatakan datuknya merupakan generasi ke 4 daripada orang Cina yang berasal daripada Negara Cina datang ke Kelantan melalui jalan laut dan sungai. Keluarga datuknya itu  menetap di kawasan Sering. Pekerjaannya ialah berniaga jual beli ayam ,itek , kelapa kering dan juga minyak kelapa (minyak masak) serta bertani.
Rumah yang didiami Chan Beng Seong  sekarang adalah didirikan oleh datuknya Chan Aik menggunakan kayu cengal daripada Singgora begitu juga bata (atap).Kayu-kayu cengal dan bata lebihan daripada rumah tersebut itulah beliau mendirikan wakaf yang  terletak dipersimpangan jalan ke Pantai Senak,ke Kota Bharu dan ke Tawang kira-kira 12 km daripada Kota Bharu. Masa kini iaitu semasa lawatan dibuat  12 Ogos 2012 wakaf berkenaan masih kuat dan kukuh dan digunakan cuma atapnya ditukar kepada ‘ edek’ kerana bata Singgora yang asal banyak yang pecah. Keluasan wakaf ini kira-kira 10’x14’ dan tingginya 5’ dan tinggi lantainya 3’. Wakaf itu terkenal dengan nama Wakaf Aik mengikut nama tokoh yang membinanya. Masa dulu sebuah perigi (telaga) juga dibina berhampiran wakaf tersebut sebagai member i kemudahan  kepada mereka  singgah berehat dalam perjalanan. Tetapi sekarang perigi itu sudah tidak ada lagi. Seni bina wakaf tersebut mengikut senibina rumah Melayu iaitu  atap “perabung lima”.
Wakaf Aik terletak dalam Jajahan Bachok bersempadan dengan Kampung Sering dalam jajahan Kota Bharu. Masyhur nama wakaf ini hingga nama Kampung itu pun dikenali “Kampung Wakaf Aik” hingga sekarang.

Nama Tempat Mengguna Nama  Wakaf;
Terdapat nama-nama tempat atau kampong dengan mengguna nama wakaf tempatan yang masyhur pada masa dahulu. Antaranya;
Kampung Wakaf Siku- Kota Bharu-asal terletak dekat lampu jalan Wakaf Siku ke Langgar disebelah hilir. Sudah tidak ada lagi.
Kampung Wakaf Che Yeh-Kota Bharu.Terletak di tepi sebelah hulu lampu jalan persimpangan Kota Bharu ke Kampung  Kota atau ke RTM.Wakaf Che Yeh. Wakaf tersebut sudah tidak ada lagi masa ini.
Kampung Wakaf Tok Peduka-Kota Bharu
Kampung Wakaf Bharu-Tumpat ,sekarang nama sebuah pekan .Wakaf asal terletak dibelah selatan stesyen keretapi  (lama) Wakaf Bharu.
Kampung Wakaf Zin-Bachok
Kampung Wakaf Stan-Kota Bharu
Kampung Wakaf Aik- Bachok
Kampung Wakaf Merah ,Kutan -Tumpat
Kampung Wakaf Tok Wali-Kota Bharu

Sekolah:
Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan,Kota Bharu
Sekolah terletak dalam jajahan Kota Bharu mengambil nama Kampung Wakaf Stan.Masa dahulu terdapat sebuah wakaf yang dibina oleh masyarakat setempat  bagi kegunaan pada masa dahulu terutama yang berjalan kaki dan berhenti mananti perahu penambang untuk menyeberangi sungai dikampung tersebut.

Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja,Pasir Puteh

Sekolah tersebut mengambil nama Kampung Wakaf Raja.Pada awalnya di situ dibina  sebuah wakaf oleh masyarakat kampong kebanyakan terdiri daripada golongan “raja” atau tengku. Kampung Wakaf Raja terletak dalam jajahan Pasir puteh.Daripada nama kampung tersebut di namakan pula “Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja” yang ditubuhkan dikawasan tersebut.


Rujukan:
1.Sejarah Masyarakat Cina Pulai Di Gua Musang Kelantan; Yusniza bt.Abd.Rahman,Latihan Ilmiah  Serjana Muda UKM-Bangi 2007.
2.Peranakan Chinese In Northeast Kelantan-Dr.Tan Chee Beng,JMBRAS.Vol.LV.Part l 1982.
3.Latar belakang Sejarah Komuniti Cina Kampung Di Kelantan- Hanapi Dollah
4.Latar Sejarah Komuniti Siam Di Kelantan berdasarkan Sumber Kesenian-Hanapi Dollah-Seminar Kebudayaan dan Kesenian Komuniti Siam di Kelantan:29 Nov.2008 Komp,Perp.Tumpat Kelantan.
5.Sejarah dan Aprisiasi Seni Wakaf Tradisional Dahulu dan Sekarang- Mohd.Yasin bin Haji Yaacob-MPK.Ceras KL.1990.
6.Mengenal  Aneka Kepercayaan dan Adat Resam Masyarakat Siam Kelantan –Buku belum cetak-Eh Chot A/L Cha Chan-Persatuan Masyarakat Siam Kelantan-2012.

Temu ramah;
_Che gu Law Awang;mantan pendidik –mengenai masyarakat Cina Peranakan Kelantan 16.07.2012.
_Che gu Eh Chot  A/L Cha Chan;mantan pendidik dan Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan.
-Che Chan Beng Seong Kampung Sering,Kota Bharu 12.08.2012.

Kerjasama:
Ucapan terimakasih kerana memberi  pertolongan turut sama kelokasi bagi mendapat keterangan atau fakta  sejarah semasa dibuat kajian berkenaan : 
-YM.Haji Tengku  Ahmad bin Tengku Ali  (Mantan Pengetua) SMK.Beris Panchor,Bachok.
-Che gu Mazlan bin Daud SM.Beris Panchor,Bachok.




Warga kerja penyelidikan:
Dato Haji Salleh Mohd.Akib
En.Mohd.Termizi bin Mohd.Taib
En.Sabki bin Ibrahim
En.Amirul bin Mamat
En.Mohd.Ali Rudzuan bin Daud
Engku Ariff bin Raja Yaacob